Tuesday 16 August 2011

2. Wisma Malaysia tempat pertemuan anak anak Malaysia

Jakarta oh Jakarta, sebuah Kota Metropolitan yang penuh dengan kepelbagaian, penuh dengan keunikan, penuh dengan aneka ragam dan rencah kehidupan manusia. Jakarta “kota seribu harapan”, kota yang menjadi nadi kebangkitan bangsa Indonesia, kota yang menjadi mercu tanda permodenan bangsa Indonesia.

“Macet”, ayat pertama yang aku pelajari dari Pak Osman. Dia adalah orang yang populer di kalangan mahasiswa Malaysia yang menuntut di Indonesia, terutama anak-anak di Jakarta dan sekitarnya. Pak Osman, sebuah nama yang sangat dekat dan mudah aku ingat. Mungkin saja secara kebetulan namanya sama dengan nama abahku.


Tapi tentu rakan-rakan yang lain juga setuju, tanpa pak Osman kita bisa saja mendapat musibah bila berurusan di ‘kantor’ Imigrasi untuk mengurus ‘KIM’S (kartu izin masuk sementara) yang sama tarafnya dengan visa untuk tinggal belajar di Indonesia.

Pak Osman adalah orang pertama yang aku kenal apabila pertama kali menjejakkan kaki ke kota Jakarta. Masih aku ingat susuk wajahnya yang berkepala botak licin, tinggi lampai dan berbadan tegap.

Wisma Malaysia, Jalan Hos Cokroaminoto, Menteng. Di sinilah untuk pertama kalinya berkumpul dan bersilaturrahmi. Inilah destinasi pertama kami setelah hadir menjadi tetamu kota Jakarta. Wisma Malaysia terletak di tengah-tengah kota Jakarta, menjadi pusat tumpuan pelajar Malaysia yang menuntut di Jakarta dan kota-kota lain di sekitarnya.

Tak jauh dari Wisma Malaysia, letaknya Pasaraya Sarinah yang menjadi tumpuan sesiapa saja yang ingin berbelanja. Juga, tidak jauh dari Sarinah, terdapat pasar besar dengan manusia berpusu-pusu berbelanja secara borong iaitu ‘Pasar Tanah Abang’.

MONAS, merupakan mercu tanda kota Jakarta juga letaknya tak jauh dari Wisma Malaysia. Monumen Nasional ini punya keunikkannya yang tersendiri karena di mercu monumen ini dikabarkan diletakkan objek yang diperbuat dari emas tulen setinggi 15 meter. Tetapi di sini ada sesuatu yang lebih menarik lagi, terutama aktiviti malam minggunya.

Malam minggu di sini menjadi tempat pesta yang sangat meriah, terutama bagi kalangan muda-mudi yang berminat mencari hiburan murahan. Pesta dangdut secara terbuka sehingga ke pagi. Sungguh meriah dan penuh bercahaya. Malam minggu menjadi sangat teruja dengan pelbagai gelagat pasangan baik muda maupun yang tua mendapatkan hiburan ‘gratis’, sambil melayan pasangan memadu asmara dari malam sampai ke pagi. Malam minggu merupakan malam untuk muda-mudi mendapatkan hiburan dan berpesta menikmati udara malam. ‘Kencan bersama pacar’, istilah yang selalu disebut oleh anak-anak Jakarta.

Selain Wisma Malaysia, Jalan Budi Kemulian adalah destinasi utama mahasiswa Malaysia ketika itu. Di sini terletaknya Jabatan Penuntut Malaysia di Jakarta, dan di sini juga terdapat beberapa bilik yang menjadi tempat penginapan beberapa mahasiswa Malaysia yang kuliah di sekitar kota Jakarta. Menariknya, letaknya tak jauh dari MONAS, tentunya menjadi sangat menarik untuk menumpang menginap di sini setiap hujung minggu.

‘Bajaj’ adalah kenderaan yang sangat populer di kalangan mahasiswa yang berada di kota Jakarta. Bajaj merupakan teksi yang paling pantas, keunikkannya kerana diubahsuai dari motor ‘vespa’ menjadi kenderaan beroda tiga yang penumpangnya duduk di belakang. Sebelum menggunakan perkhidmatan bajaj, pengguna harus terlebih dahulu tawar-menawar tambang. Di sinilah letaknya satu lagi keunikkan, iaitu kita harus berani menawar supaya tidak dikenakan harga yang tinggi…

Jakarta oh Jakarta. Kota yang memberi seribu satu macam pengalaman. Hidup di kota Jakarta tidak seindah dan semanis seperti yang aku gambarkan sebelum menjejakkan kaki ke sini. Rasa semangat yang berkobar-kobar menjadi sedikit luntur, kata-kata yang penuh bersemangat menjadi sedikit mengendur, senyuman yang melebar menjadi sedikit hambar. Aku mula menjadi ragu-ragu. Keresahan terus menyelubungi selepas dikabarkan kami akan dihantar ke kampus Universitas Indonesia yang letaknya bukan di Jakarta, tetapi di Depok.

Depok, Kota Madya yang terletak dipinggir Jakarta dan lebih tepatnya berada di perantaraan Jakarta dan Bogor di Jawa Barat. Hati ini menjadi sangat gusar, apakah cabaran yang bakal ku tempoh bila berkunjung ke Depok nanti. Melihat Jakarta saja sudah cukup sengsara, bagaimana pula untuk mengadaptasi dengan Depok yang lebih jauh, sukar ku pastikan bagaimana rupa dan ragam kotanya. Hanya satu harapanku. Hati harus cekal, semangat harus kuat, cita-cita harus diutamakan. Apa saja cabaran harus ku tempuh. Kerana ini saja jalan yang aku ada. Ini sahaja pilihan yang aku punya. UI aku datang. Depok aku bertandang, apa saja akan aku tantang. Asalkan kejayaan bisa ku bawa pulang.

Samsul Kamil Osman, Baling, 2.31 am,8 Ogos 2011

1. Kali pertama menjejak kaki ke Depok


Hati ini sangat berdetik sekali untuk menulis, tapi aku tidak pasti harus bagaimana untuk memulakannya. Tiba-tiba fikiran ini jauh melayang menerjah arus zaman yang telah berlalu dan aku fikir itulah kenangan terindah yang pernah aku lalui dalam sejarah perjalanan hidup ini.

Benar, aku benar-benar yakin, perjalanan sebagai mahasiswa sebuah Universiti yang tersohor di tanah seberang merupakan satu-satunya kenangan yang terindah yang pernah aku miliki.

Universitas Indonesia, sebuah nama yang cukup besar bagi anak-anak bangsa Indonesia. Mendapat kesempatan menjadi mahasiswa UI, dan UI adalah nama keramat yang menjadi kebanggan bagi setiap mahasiswanya.

Benar, mendapat kesempatan menimba ilmu di UI sudah merupakan satu kebanggaan yang sangat besar bagi setiap pelajar mahupun orang tua mereka di Indonesia, sama juga sepertinya diterima ke ITB di Bandung atau juga ke UGM di Jogjakarta. Sesungguhnya sangat sukar untuk digambarkan betapa bangganya setiap mahasiswa dan ibu bapa yang diterima di UI.

Aku juga sebenarnya antara mahasiswa yang sangat beruntung kerana berjaya ‘lolos’ masuk ke UI setelah berhasil mendapat nilai terbaik dalam Ujian Masuk Perguruan Tinggi Negeri (UNPTN) yang diadakan di Kedubes Indonesia di Kuala Lumpur. Sesungguhnya sesuatu yang tidak pernah aku gambarkan sebelumnya, aku terpilih untuk melanjutkan pelajaran ke sebuah Universiti yang sangat tersohor di Indonesia.

Apapun aku sangat-sangat bersyukur, kerana hasrat ku untuk menjejakkan kaki ke menara gading akhir tercapai jua. Aku tambah beruntung lagi apabila ditawarkan melanjutkan pelajaran ke seberang dengan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melalui “Program G to G” iaitu program pertukaran palajar di antara kerajaan Indonesia dan kerajaan Malaysia.

Hari berganti hari, minggu berganti minggu, akhirnya impian aku untuk menjejakkan kaki ke Tanah Seberang akhirnya tecapai jua. Suasana menjadi sangat meriah dan penuh dengan kemegahan apabila kaum keluarga dan sanak saudara beramai-ramai menghantar anak-anak mereka ke Subang Airport, destinasi pertama sebelum kami menaiki pesawat MAS ke Jakarta. Dengan penuh segak, berpakaian kemas bertali leher, siap menyarung ‘baju kot’, tampak sangat bergaya sekali kami pada saat itu.

Memang sangat sesuai kerana kami telah diiktiraf sebagai “duta kecil” yang akan mewakili negara ke negara Seberang, begitulah kata-kata yang diucapkan oleh pegawai dari JPA mewakili Kerajaan Malaysia yang turut menghantar kami ketika itu.

Pengalaman yang manis itu menjadi sangat luar biasa pada aku, kerana sepanjang pengalaman hidup ku, itulah pertama kalinya aku menjejakkan kaki ke dada pesawat terbang. Sesuatu yang ku rasakan hadir seperti dalam mimpi, sesuatu yang tak pernah aku rasakan untuk mengecapinya sebelum-sebelum ini.

Degup jantung semakin lama semakin kencang, apabila pesawat mula bergerak ke landasan untuk meluncur terbang. Hati ini ketika bercampur baur rasa gembira dan rasa takut, sama banyaknya. Gembira kerana itulah pengalaman pertama terbang ke angkasa. Takut kerana sudah banyak membaca cerita mengenai kemalangan pesawat. Dalam hati tak henti-henti berdoa semoga perjalanan ku selamat. Niat suciku untuk menimba ilmu akan dapat terlaksana.

Jakarta oh Jakarta. Aku datang dengan semangat yang membara, dengan impian yang menggunung. Akan ku terjah segala badai dan gelora, akan ku gapai segala hasrat dan impian. Mampukah aku mengharungi segala liku-liku ini, tapi aku tetap bangga kerana aku telah menjejakkan kaki ku ke sini.

Ternyata Jakarta tidak seperti yang ku gambarkan sebelumnya, terlalu luar biasa. Ragam manusia yang beraneka rupa. Kali pertama menjejakkan kaki ke kota Jakarta sudah cukup membuat hati gembira menjadi gusar, rasa berani menjadi kecut, suara garang menjadi lembut, lihat manusia menjadi takut.

Apakah ini cabaran yang harus aku lalui, mampukah aku melangkah terus atau berhenti. Menyerah diri dan mohon kembali. Mendengarkan bisikan senior ku yang menyambut di Bandara Sukarno-Hatta, mendengarkan alunan lagu “siapa suruh datang Jakarta”. Hati ku menjadi tambah keliru. Apakah jalan yang ku pilih ini tepat, tapi aku ingin sekali menjadi ‘Mahasiswa Universitas Indonesia”. Aku harus bangga menjadi anak ‘UI’. Aku harus bangga karena berjaya menyarung ‘Jaket Kuning’, jaket keramat. Lambang perjuangan bangsa Indonesia.

Samsul Kamil b. Osman
Teratak Shamida, No 5,
Taman Desa Cempaka,
Pekan Pulai,09100 Baling,Kedah
5 Ogos 2011,